
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun . (Kredit foto: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan pelarasan pendaftaran pusat jagaan antara isu utama yang akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata, prosedur dan syarat yang berbeza dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyukarkan pusat jagaan untuk memenuhi syarat tersebut, malah setiap prosedur saling berkait dan saling berkaitan antara tugas dan kuasa di setiap kementerian terbabit.
Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan prosedur pendaftaran pusat jagaan dapat dipertingkatkan supaya golongan rentan mendapat perlindungan yang betul.
“Kelulusan pusat jagaan itu bukan satu-satunya kuasa KPWKM tetapi ia melibatkan pemeriksaan dan penilaian agensi teknikal lain seperti PBT, Jabatan Kesihatan, dan bomba.
“Kesukaran mendapatkan lesen operasi akan menyebabkan banyak pusat jagaan tidak berdaftar wujud di negara ini bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak.”
Rina berkata selain memastikan semua pusat jagaan didaftarkan, ia perlu diseimbangkan dengan kewajipan memastikan keselamatan penghuninya yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, OKU dan seumpamanya.
“Kita juga tidak mahu keadaan pusat jagaan banyak berdaftar tetapi kualiti operasi dan perkhidmatan penjagaan yang diberikan kepada golongan mudah terjejas tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.”
Beliau berkata pendekatan melaksanakan ujian saringan kesihatan mental ke atas penjaga dan kakitangan pusat jagaan juga akan diteliti.
Ini bertujuan untuk memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan mental yang baik dan tidak terdedah kepada pengabaian, penderaan dan penganiayaan individu dalam jagaan mereka.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/