
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, polis tidak akan menahan atau mendakwa individu yang mempunyai beberapa saman dan waran tangkap sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat ke-18 (Op Selamat 18) ini.
Menurutnya, tiada sebarang tindakan diambil sepanjang tempoh itu kerana menjadi tanggungjawab pihaknya dengan kerjasama Op Selamat bagi melancarkan perjalanan pengguna balik ke kampung halaman masing-masing.
“Kita mahu semua pengguna dapat pulang ke kampung dengan selamat untuk meraikan hari raya memandangkan sudah dua tahun tidak boleh balik susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Selain itu, pihak JSPT menggunakan alat bantuan teknologi Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) dan alat pengesan had laju In-Car Radar untuk mengesan kenderaan laju, tidak mengikut peraturan jalan raya termasuk individu yang ada rekod dalam pangkalan data kita dan mempunyai waran tangkap.
“Namun, pihak kita tidak akan menahan mereka yang mempunyai saman yang banyak dan waran tangkap. Bukan fokus kita nak tangkap mereka dan alat itu (iCOPS dan In-Car Radar) lebih bantu kami untuk menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian berikutan penyerahan tugas Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat kepada pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Datuk Mat Kasim berkata, sokongan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan bagi melancarkan lagi perjalanan pengguna.
Beliau menyatakan bahawa lima peranti iCOPS sedang digunakan di seluruh negara, termasuk di utara, selatan dan pantai timur. Polis hanya akan mendakwa mereka yang terlibat dalam kes jenayah.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/