
KUALA LUMPUR: Negara mempunyai simpanan air bawah tanah mencecah 5,000 bilion meter padu yang masih belum ‘terusik’ dan berpotensi diteroka terutama bagi mengatasi masalah bekalan air kritikal di kawasan luar bandar.
Untuk itu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) tampil dengan inisiatif dan inovasi baharu dalam pencarian air bawah tanah di kawasan batuan keras menggunakan satelit penderiaan jauh dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, berkata jika selama ini kekangan utama maksimumkan penggunaan sumber air bawah tanah di negara ini ialah kos yang tinggi, tetapi MYSA memberi jaminan penggunaan kaedah GIS dan satelit penderiaan jauh mampu mengurangkan kos pencarian sehingga 50 peratus.
Selain itu, proses mengenal pasti kawasan sumber air bawah tanah di kawasan batuan keras dengan menggunakan satelit penderiaan jauh dan GIS bukan hanya menjimatkan masa dan tenaga kerja, juga mengurangkan impak penerokaan alam sekitar.
“Proses mengenal pasti lokasi sumber air bawah tanah di kawasan batuan keras menggunakan satelit penderiaan jauh dan GIS bukan hanya menjimatkan masa dan tenaga kerja, malah mengurangkan impak penerokaan alam sekitar,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, kos pencarian sumber air bawah tanah di kawasan batuan keras menggunakan kaedah konvensional boleh mencecah RM500,000 bagi setiap satu proses penggerudian serta pengwujudan sistem telaga tiub berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan inovasi dibangunkan MYSA hanya membabitkan kos keseluruhan sekitar RM250,000 bagi proses penggerudian dan pembangunan satu sistem telaga tiub yang lengkap di kawasan batuan keras.
“Bersama-sama data lapangan, imej satelit diguna bagi mendapatkan maklumat parameter geologi, persekitaran dan maklumat lain yang mempengaruhi wujudnya sumber air bawah tanah,” katanya.
Kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) pada 1982 mendapati, meskipun Malaysia kaya dengan sumber air bawah tanah dianggarkan kira-kira 5,000 bilion meter padu, penggunaannya pada masa ini kurang daripada tiga peratus berbanding negara lain.
Denmark maju ke hadapan berbanding negara lain apabila memanfaatkan sumber air bawah tanah sehingga 100 peratus, diikuti Austria (98 peratus), Thailand (80 peratus), China (78 peratus) dan Amerika Syarikat (50 peratus).
Azlikamil juga berkata, antara parameter geologi dan persekitaran utama diambil kira merangkumi jenis batuan, guna tanah, jenis tanah dan bentuk muka bumi atau landform.
“Malaysia adalah negara tropika dan perubahan cuaca memberi kesan dalam kehidupan atau dalam menguruskan sumber dalam negara.
“Jika peralihan monsun membawa fenomena cuaca kering berpanjangan, ia akan memberi kesan kepada sumber air kita.
“Sebab itu kita bangunkan teknologi ini agar dapat bantu pihak berkepentingan melakukan persediaan menghadapi kemungkinan isu berkaitan sumber bekalan air bersih masa depan,” katanya.

Seawal 2013, katanya, MYSA berjaya mengesan sembilan kawasan sumber air bawah tanah berpotensi diteroka dan seterusnya membangunkan sistem telaga tiub lengkap bagi kegunaan penduduk setempat yang memerlukan sumber bekalan air bersih.
“Sistem telaga tiub dibangunkan masih beroperasi dan dimanfaatkan penduduk terbabit sehingga kini, manakala pemantauan kualiti air sentiasa dilakukan berkala melalui kerjasama Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Malah, Azlikamil berkata, penduduk setempat juga boleh memohon supaya kajian dilakukan di tempat mereka dan mengkomersialkan air mineral seperti di Tuaran, Sabah yang terletak di kawasan kaki Gunung Kinabalu.
“Kalau penduduk ingin mengoptimumkan sumber air ini secara komersial, mereka boleh mohon kelulusan dengan KKM untuk membotolkan air di situ dan pasarkan,” katanya.
Setakat ini, MYSA sudah membangunkan sembilan sistem telaga tiub, iaitu di Kampung Mensudut Lama, Johor; Kampung Ulu Inas, Johol dan Kampung Kuala Pajam di Beranang, Negeri Sembilan; Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang; Kampung Berjaya, Gurun dan Kuala Pai di Padang Terap, Kedah.
Tiga lagi adalah di Sabah, iaitu Kampung Bungalio di Tuaran, Kampung Samparita di Kota Marudu dan Kampung Tongodon di Tongod.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara (DSAN) dengan mengambil kira situasi negara dan akan disesuaikan dengan Pelan Transformasi Sektor Air (2040) serta perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/