
SEREMBAN: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan ribut petang tadi, menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menghalang laluan utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II Zamhuri Zainnordin berkata antara kawasan yang terjejas ialah Taman England, Sikamat; Taman Nyior, Garden Lake, dan Kampung Semarak.
“Pusat operasi kami menerima banyak panggilan berhubung pokok tumbang, ribut, dan banjir kilat sejak petang tadi. Sehingga kini kami masih menjalankan operasi menyelamat mangsa dan mengalihkan pokok tumbang.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan air telah surut. Sehingga jam 10.30 malam ini, jumlah mangsa masih belum dapat dipastikan.”
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, kira-kira 70 rumah terjejas akibat banjir di Kampung Ismail, Ampangan dekat sini yang naik ke paras dada, namun air sudah mula untuk surut.
Beliau berkata di Bukit Chedang, ketinggian air banjir ialah 0.3 hingga 0.6 meter dan bacaan hujan di stesen berhampiran ialah 83.5 milimeter.
“Paras air Sungai Linggi sekarang ialah 44.80 meter iaitu pada paras berbahaya, sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
Air naik akibat hujan lebat dalam masa yang singkat, air di Sungai Kepayang melimpah dan kembali mengalir kerana paras Sungai Linggi yang tinggi.”
Mohd Syukri berkata, terdapat beberapa lagi kawasan di daerah ini yang dilanda banjir kilat dan pihaknya giat menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.
APM turut menerima laporan mengenai pokok tumbang di sekitar Jalan Pantai, dan Seremban berhampiran Kilang Koko di sini.
Sementara itu, mangsa banjir Mohd Irqim Mohamad (27), dari Taman Lee Siew Joo berkata, air naik ke paras pinggang berikutan hujan lebat kira-kira 7 malam tadi.
“Hujan lebat, air naik mendadak tidak sampai setengah jam iaitu kira-kira 8 malam ini, namun air semakin surut.”
Sumber: Bernama