
Kuala Lumpur: Harian Metro akan meneruskan kerjasama dengan EZ Qurban Sdn Bhd dalam menganjurkan program ibadah korban pada Aidiladha bagi berkongsi rezeki dengan lebih ramai asnaf dan fakir miskin.
Program kali ini akan dianjurkan oleh Hulu di Kampung Sri Keledang, Selangor pada hari pertama Aidiladha dengan sasaran 500 keluarga.
Pengarang Kumpulan Harian Metro dan Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit berkata, Harian Metro amat berbesar hati kerana sekali lagi dapat meneruskan kerjasama strategik dengan EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin selama dua tahun berturut-turut dalam melaksanakan ibadah korban.
“Mengambil keberkatan dan pada masa yang sama menyambut serta menginsafi erti sebenar di sebalik ibadah korban, kami berharap penganjuran program ini secara tidak langsung dapat membawa kemeriahan dan menambahkan kemeriahan menyambut Aidiladha kali ini selepas disambut secara sederhana sebelum ini akibat jangkitan Covid-19.
“Program ibadah korban ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Harian Metro untuk menyediakan bantuan dan sumbangan yang diperlukan golongan kurang berkemampuan melalui perkongsian strategik dengan rakan korporat seperti EZ Qurban.
“Sebagai media arus perdana berusia lebih 30 tahun, tugas kami bukan sahaja sebagai penyampai maklumat dan berita semasa, kami juga komited untuk turun padang, mengorbankan masa dan tenaga untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan.”
Husain Jahit
Turut hadir, Pengasas Yayasan EZ Prihatin, Azhar Ab Shukur; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita dan Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.
Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada pihak media khususnya Harian Metro selain berharap lebih ramai dapat menunaikan ibadah korban pada tahun ini.
“EZ Qurban menyasarkan 1,000 ekor lembu akan disembelih dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Dengan kerjasama ini, kita berharap usaha ini dapat dihebahkan dan sasaran itu dapat dicapai.”
Azhar Ab Shukur
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan EZ Qurban Nor’adzimah Hassanuddin berkata, pihaknya menyasarkan lebih 8,000 ekor lembu akan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di 37 negara.
“Tahun ini kita akan melaksanakan di 37 negara termasuk dua lokasi baharu iaitu di Kyrgyzstan, Burkina Faso, Afrika Barat, dan Papua New Guinea.
“Tahun lalu, kita dapat 8,800 ekor lembu tetapi sebelum Covid, kita sudah mencecah 11,000 ekor lembu dan tahun ini kita berharap dapat mencapai lebih 8,000 ekor lembu.”
Nor’adzimah
Pelaksanaan ibadah korban bersama EZ Qurban di negara ini boleh dilakukan pada harga RM750 seekor lembu dan RM1,199 seekor kambing manakala ibadah korban di luar negara bermula dengan harga serendah RM320 seekor lembu dan RM580 seekor kambing.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi EZ Qurban melalui whatsapp di 1-800-885-885 atau boleh melayari laman web di www.ezqurban.org.
Sumber: Harian Metro
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/