
Serdang: Selepas empat tahun, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 kembali menemui orang ramai 4 hingga 14 Ogos ini dengan bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.
Ia memberikan fokus kepada seperti Agro Trade iaitu membabitkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan.
Pada masa sama turut mempromosi produk tempatan dan antarabangsa serta Agro Edutainment bagi mempromosi selain memberi kesedaran mengenai kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara.
Selain itu, ia merangkumi Agro Lifestyle bagi mempamerkan gaya hidup keluarga agro serta aktiviti nilai tambah di sepanjang rantaian nilai agromakanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pameran itu pada 6 Ogos ini.
Katanya, sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat, seminar dan konvensyen agromakanan selain pengoperasian laman-laman dan rumah negeri.
Katanya, sembilan Memorandum Persefahaman (MOU) dijangka ditandatangani membabitkan pemain industri sektor agromakanan ketika MAHA 2022 berlangsung membabitkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion.
“Semua ini akan berlaku sepanjang 11 hari MAHA dianjurkan kali ini. Kita melihat sambutan daripada pemain industri tempatan agak menggalakkan dan itu akan memberi satu ruang pameran ekspo yang dinantikan rakyat Malaysia.
“Penganjuran sepatutnya dibuat pada tahun 2020, tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan, ia tidak dapat dianjurkan. Ini adalah penganjuran selepas empat tahun selepas 2018,” katanya pada Media Tour MAHA 2022.
Hadir sama, Timbalan Menteri Mafi Datuk Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha Mafi Datuk Haslina Abdul Hamid.
Menurutnya, ketika ini persiapan di tapak bagi penganjuran MAHA 2022 menghampiri 100 peratus dan pihaknya bersedia sepenuhnya dengan pelbagai program serta acara menarik yang akan berlangsung sepanjang tempoh itu.
MAHA 2022 selain memberi penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan akan diselitkan juga dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) melalui aktiviti pameran hasil dan produk pertanian oleh peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani.
Katanya, pameran pertanian terbesar dan berprestij yang bakal menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi tempatan dan luar negara, strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pendekatan lain yang mampu membantu sektor itu.
Penganjurannya akan menjadi indikator utama dalam usaha kerajaan melalui kementeriannya memacu pemulihan sektor pertanian dan agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih dan menjamin sekuriti makanan negara.
Waktu operasi MAHA 2022 dijadualkan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.
Ikuti perkembangan terkini dan info-info menarik dengan melayari portal https://mysmedia.my/